PEPERIKSAAN PERCUBAAN 1
BAHASA MALAYSIA 1
SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA
2008
3 JAM
Arahan kepada calon: Jawab satu soalan daripada Bahagian A, soalan dalam Bahagian B, satu soalan daripada Bahagian C, dan soalan dalam Bahagian D.
Bahagian A
Tulis sebuah karangan yan panjangnya antara 650 hingga 700 patah perkataan berdasarkan satu daripada tajuk-tajuk di bawah ini [50].
1. Tugas menghijaukan negara merupakan tanggungjawab bersama. Bincangkan langkah-langkah yang perlu dijalankan oleh semua pihak untuk menjayakan rancangan ini.
2. Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dapat mengubah gaya hidup masyarakat di negara ini. Nyatakan kepentingan kemajuan teknologi maklumat kepada rakyat di negara ini.
3. Masalah warga tua yang tidak mendapat penjagaan yang sempurna daripada anak dan masyarakat wajar diberi perhatian walaupun masalah ini belum begitu tenat, seperti di sesetengah negara barat. Namun, hal ini tidak wajar dipandang ringan kerana bilangan warga tua akan meningkat dan masalah yang dihadapi mereka kian rumit. Huraikan permasalahan warga tua di negara ini dan cadangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
4. Industri pelancongan mempunyai masa depan yang cerah dan mendatangkan pendapatan yang lumayan. Selaku seorang pegawai di Kementerian Pelancongan, anda dikehendaki menyampaikan ceramah tentang usaha-usaha untuk memajukan industri pelancongan kepada pengusaha agensi pelancongan tempatan di sebuah hotel terkemuka. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.
Bahagian B
5. Fahami petikan di bawah ini dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih tiga perenggan dan panjangnya antara 180 hingga 190 patah perkataan [20].
Sejak akhir tahun 1990-an, Malaysia telah dilanda kegawatan ekonomi yang teruk. Banyak syarikat tidak dapat beroperasi dengan lancar disebabkan oleh kegawatan tersbeut, malah syarikat-syarikat yang mengalami kesan yang teruk, terpaksa gulung tikar. Antara yang turut mengalami keadaan yang menyedihkan itu ialah syarikat penjual kereta terpakai. Kita dapat menyaksikan begitu banyak kereta terpakai yang diletakkan di kawasan ‘pameran’ di tepi-tepi jalan di negara kita, bukan sahaja di bandar-bandar besar, malah di bandar-bandar kecil juga. Hakikat ini membuktikan bahawa kereta terpakai kini sukar dijual dan masalah ini juga mencabar keupayaan kita untuk mengatasinya.
Antara sebab yang mewujudkan masalah itu ialah pinjaman pembiayaan oleh syarikat kewangan di negara kita kini tidak begitu menggalakkan pembelian kereta terpakai. Kadar faedah yang dikenakan untuk pinjaman kereta baharu jauh lebih rendah berbanding dengan kadar faedah yang dikenakan untuk pembelian kereta terpakai. Sebagai contoh, syarikat Auto Bavaria, pengedar kereta BMW menawarkan pinjaman tanpa faedah untuk tahun pertama kereta model terbaharu mereka pada tahun lepas. Tambahan pula, tempoh pembayaran balik juga telah dipanjangkan kepada 7 tahun berbanding dengan 5 tahun untuk kereta terpakai. Dengan tawaran seperti ini, pembeli akan lebih berminat untuk membeli kereta baharu.
Selain itu, kebanyakan orang mempunyai tabiat suka menukar kereta lama kepada kereta baharu, iaitu selepas kereta tersebut melewati tempoh 5 tahun. Hal ini disebabkan ramai orang enggan membelanjakan wang yang lebih untuk membaiki kereta yang mula memberikan masalah kerana komponen yang bertempoh hayat tertentu perlu ditukar. Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan bahawa enjin kereta lama semakin kurang efisien. Hal ini menyebabkan penggunaan minyak bagi kereta lama lebih tinggi. Dengan perkataan lain, semakin lanjut usia sesebuah kereta itu semakin banyak masalah akan timbul dan semakin banyak wang yang diperlukan untuk menyelenggarakannya. Faktor inilah yang menyebabkan pemilik kenderaan memutuskan untuk menjual kereta lama mereka.
Reka bentuk kereta terpakai juga banyak yang sudah ketinggalan zaman sedangkan para pembeli umumnya lebih meminati model kereta terkini. Teknologi kereta terbaharu lebih tinggi dan reka bentuknya dapat memenuhi cita rasa golongan muda. Hal ini menyebabkan kereta terpakai kurang pembeli dan terus tersadai begitu sahaja.
Memandangkan terlalu banyak kereta terpakai berada di pasaran, langkah penyelesaian perlu dicari. Pada hakikatnya, kereta terpakai yang masih baharu boleh dieksport ke negara-negara tertentu. Langkah seperti ini biasa dilakukan oleh negara maju. Sebagai contoh, banyak kereta terpakai dari Eropah dan Jepun, terutamanya kereta mewah dieksport ke negara mambangun, seperti Malaysia. Negara kita boleh mencontohi kaedah yang sama untuk mengeksport kereta terpakai negara ke negara-negara Dunia Ketiga yang lebih mundur serta kurang berkemampuan, seperti Afrika, Myanmar, dan Vietnam. Pengeksportannya bukan sahaja boleh mengurangkan lambakan, malahan berkemungkinan memberikan keuntungan yang lebih lumayan berbanding dengan menjualnya di pasaran tempatan.
Di samping itu, komponen-komponen kereta yang masih baik juga boleh diasingkan dan dijual sebagai komponen alat ganti. Komponen seperti ini boleh mendapat pasaran, terutamanya untuk model kereta yang keluarannya terhad. Sebagai contoh, komponen kereta Volkswagen masih lagi dicari oleh peminat di dalam dan di luar negara dengan harga yang lebih tinggi berbanding dengan komponen kereta baharu.
Pertambahan jumlah kereta terpakai di negara kita merupakan suatu realiti yang tidak boleh diketepikan. Kemajuan negara dan peningkatan taraf hidup serta kuasa beli rakyat ada kaitannya dengan pewujudan hal tersebut. Kita tidak seharusnya menuding jari kepada pengguna atau penjual kereta terpakai, sebaliknya kita harus mencari jalan penyelesaian yang berkesan agar negara kita tidak dipenuhi oleh lambakan kereta yang telah berusia lanjut.
Bahagian C
Jawab satu soalan sahaja.
6. Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah [15].
“Mak, mak kena makan ubat”. Lembut suara Ana memujuk ibunya.
“Sampai bila mak nak kena makan ubat?” Emak cuba membantah sambil memusingkan mukanya ke kanan.
“Sampai mak baik. Kalau rajin makan ubat, cepat baik. Tak payah lagi makan ubat”. Ana terus memujuk ibunya.
“Mak rasa dah jemu makan ubat. Rasa tekak pahit. Nak makan pun rasa tak lalu!”. Mak mengeluh. Halim yang berdiri di sebelah Ana mengangkat kepala ibunya.
“Makanlah ubat ni. Halim suap perlahan-lahan. Kalau mak sihat, mak nanti boleh duduk! Hati kami pun senang tengkok mak”. Halim membantu Ana memujuk ibunya.
Mendengar suara Halim, satu-satunya anak lelaki emak, mak melembutkan tengkuknya. Dia membuka mulut, memudahkan Halim menyuapkan ubat.
“Ha kan baik macam tu!” Ana dan Halim bersuara serentak.
“Mana Nora, tak datang tengkok mak. Dah lama mak tak jumpa dia. Dekat mana dia sekarang?”. Tiba-tiba emak bersuara bertanyakan anak sulungnya.
“Kak Nora kata dia akan datang petang ni. Dia akan bawa anak-anaknya sekali. Tadi dia telefon beritahu Ana”. Ana berkata sambil mengusap rambut ibunya.
“Hassan datang sekali tak?”. Ibu ingin tahu.
“Abang Hassan tak dapat datang minggu ni. Sekarang ni, dia keluar negeri. Ada kerja penting. Minggu depan dia balik. Tentu dia akan datang tengkok mak!” Halim menjelaskan.
“Mak harap semua anak mak datang. Emak rindukan anak-anak mak”.
7. Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah [15].
“Marilah kita makan sama-sama,” ajak Rosalind setelah melihat Kiah membisu di sebelahnya.
“Berapa hari cuti?” tanya Pak Karim, bagaikan tidak ingin membiarkan suasana sepi.
“Tak cuti, abah!” jawab Mazlan, mencedok sesudu santan dan menuangnya atas nasinya.
“Habis macam mana?” Pak Karim berhenti mengunyah, matanya tumpah ke wajah anak dan menantunya.
“Kami kena balik petang ini juga!”
“Kenapa begitu?” Matanya masih mengarah ke wajah Mazlan.
“Ya, abah,” celah Mazlan bersahaja, “Kami telah dijemput menghadiri parti di rumah Datuk Norman esok pagi. Jadi terpaksalah kamu pulang petang ini juga, abah.”
“Tak boleh tangguh?” tanya Pak Karim, kembali mengunyah.
Mazlan berpaling memandang isterinya.
Rosalind terhenti menyuap nasinya. Pandangannya jatuh ke wajah Pak Karim. Wajah orang tua itu sugul, tunduk, kelihatan pada Rosalind amat payah dia mengunyah dan menelan nasinya.
“Abang ni, kalau fasal parti tu bukan main lagi, sampai tak ingat pesan abah!” sampuk Rosalind sejenak menjeling suaminya. Mazlan bagaikan tidak mendengar. Rosalind memandang Pak Karim, kemudian memandang suaminya semula. “Kalau ya pun Datuk Norman tu jemput abang, takkanlah abang tak boleh menolaknya dengan baik, katakan ada urusan mustahak di kampung,” tambahnya lagi sambil menjeling suaminya.
Bahagian D
8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan [15].
Ubat-ubatan moden masa ini terdiri daripada lebih 30 peratus bahan yang berasal dari tumbuhan. Dijangkakan sumber baru ubat-ubatan pada masa hadapan akan bergantung banyak kepada hasil penemuan kajian yang dilakukan terhadap bahan tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional. Malah, tidak hairanlah jika sekiranya terdapat berita pengkaji Jepun telah mendakwa yang mereka menemui bakal ubat AIDS yang berasal daripada tumbuhan, iaitu kangkung liar. Kangkung liar ini terdapat di Indonesia dan Malaysia yang dikenali dengan nama saintifiknya Merimia Mammosa.
南洋蛎饼 Oyster Biscuit
5 years ago
No comments:
Post a Comment