Friday, October 3, 2008

Langkah Pengekalan Hutan

Hutan dan tumbuh-tumbuhan hijau banyak memberikan kesejahteraan kepada kehidupan manusia.Sehubungan dengan itu, kawasan hutan di negara ini perlu dikekalkan. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dijalankan untuk mengekalkan kawasan hutan di negara ini?

Bumi bertuah Malaysia diliputi kawasan hutan beriklim khatulisiwa yang mempunyai ekosistem alam semula jadi yang kompleks dan unik. Hutan kaya dengan tumbuhan yang terdiri daripada berbagai-bagai jenis pokok, paku-pakis,lalang,dan tumbuhan epifit serta parasit lain. Hutan mengandungi binatang liar yang menjadikan hutan sebagai habitat. Flora dan fauna membiak dan meneruskan kesinambungan genetik yang berharga kepada manusia. Malangnya, hutan di negara kita telah dimusnahkan untuk dijadikan sebagai kawasan perindustrian, kawasan perkilangan, dan kawasan pertanian. Oleh sebab itu, permukaan bumi semakin tandus. Persoalannya, apakah modus operandi yang efektif bagi mengekalkan kawasan hutan?

Sebagai langkah mengatasi, penanaman semula pokok-pokok bagi menggantikan pokok yang telah ditebangkan haruslah dilakukan dengan segera. Spesies pokok tertentu yang dikenal pasti cepat membesar sepatutnya ditanam untuk menutupi permukaan bumi yang tandus. Tindakan tersebut dapat mengelakkan tanah mengalir ke dalam sungai apabila hujan, di samping dapat mengelakkan masalah peningkatan suhu bumi. Kehilangan hutan akan menyebabkan bumi kehilangan organ yang mengekalkan kadar oksigen dan karbon dioksida dlam atmosfera. Jelasnya, pokok-pokok yang telah ditebang haruslah ditanam semula

Bukan itu sahaja, perancangan yang strategik, iaitu perancangan teliti dan terperinci dengan mengambil kira kesan terhadap sesuatu projek pembangunan. Sebagai contohnya, implikasi terhadap alam sekitar jika tebing tinggi lagi curam dipotong untuk memberi laluan kepada pembinaan pembangunan dari segi jangka masa pendek dan jangka masa panjang perlu diambil perhatian, di samping mengambil kira sama ada projek tersebut akan menjejaskan kesihatan penduduk yang berhampiran atau tidak. Sememangnya, perancangan haruslah dilakukan terlebih dahulu agar sesuatu projek adalah mesra alam.

Di samping itu, pengurangan pengeluaran balak dengan mengehadkan kawasan pembalakan juga harus dilakukan. Pengurangan aktivitipenerokaan alam semula jadi akan memberi sumbangan kepada pengekalan kehijauan dan keindahan alan semula jadi. Negeri Sabah ,misalnya pernah mengawal eksport balak untuk menjamin pasarannya yang lumayan pada masa hadapan. Ketika penerokaan hutan dibuat demi nama pembangunan dan kemajuan, pengiraan terhadap kepentingan generasi masa depan yang sejahtera perlu diperhitungkan. Ertinya,terdapat kawasan hutan yang terpaksa dibiarkan kekal sementara menunggu pembesaran pokok baru melalui proses perhutanan semula di kawasan yang telah diterokai. Jadi, pengehadan kawasan haruslah dilakukan.

Tambahan pula, kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpanan hendaklah ditambah dari semasa ke semasa. Sebagai contohnya, di Semenanjung Malaysia terdapat lebih kurang 458 buah kawasan telah diwartakan sebagai hutan simpanan kekal seluas 4.64 juta hektar yang meliputi kawasan hutan darat, paya laut,dan paya gambut. Hutan simpan kekal atau dikenali sebagai pemuliharaan merupakan satu pemuliharaan kepelbagaian biologi bagi mengekalkan tumbuhan dan kehidupan liar di habitat asalnya. Jadi, hutan simpan haruslah diusahakan untuk menyelamatkan bumi kita.

Kempen kesedaran juga haruslah dilakukan untuk mendedahkan kepentingan hutan kepada kita selain menyalurkan cara memelihara dan memulihara hutan kepada orang ramai. Kempen kesedaran boleh dilakukan dalam bentuk ceramah mahupun pertandingan dengan bertemakan menyayangi alan sekitar. Risalah juga boleh diedarkan untuk mengedarkan orang ramai. Poster-poster yang menyarankan pemeliharaan dan pemuliharaan alam boleh diletak dan dipaparkan di kawasan awam, seperti bas stesen, pusat beli-belah, kawasan sekolah, dan sebagainya. Jelasnya, kempen kesedaran juga berperanan penting untuk memulihara kecantikan permukaan bumi kita.

Sebagai menggulung, sanggupkah kita melihat permukaan bumi kita cacat mukanya? Hutan haruslah dilindungi bagi mengelakkan berlakunya pelbagai bencana alam. Sebagai contohnya,gempa bumi di Shicuan,China merupakan satu amaran kepada kita untuk menyelamatkan bumi kita.Kita juga akan kehilangan kawasan tadahan air disebabkan ketiadaan akar pokok yang akan menyerap air hujan. Sayangilah hutan kita!